Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA) yang menjadi sayap kiri Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) pada kali ini akan membawa gerakan BANTAH EKSPLOITASI WANITA. Eksploitasi terhadap wanita darsawarsa ini semakin menjadi-jadi terutama dalam bidang lakonan, pengiklanan dan juga hiburan.
Melihat kepada landskap kedudukan wanita hanya sebagai pelaris dan menjadi alat mendapat manfaat bagi sesuatu tujuan. SIGMA pada kali ini akan berjuang untuk mengembalikan nilai wanita kepada kedudukan sebenarnya.
Walaupun isu eksploitasi wanita sudah agak lama dan boleh dikatakan basi, tetapi tindakan tegas untuk membela nasib wanita masih tidak dijalankan secara serius. Malah dalam kalangan wanita dan mahasiswi sendiri sanggup mengekploitasi diri mereka sendiri untuk mendapatkan keuntungan.
Oleh itu, SIGMA akan memainkan peranan dengan membantah sebarang pengekploitasian wanita terutama dalam bidang-bidang popular seperti lakonan dan pengiklanan dan dalam masa yang sama juga memberi kesedaran kepada golongan wanita dan remaja mengenai nilai wanita sendiri.

“Kita perlu meneladani bagaimana kesan kedatangan ajaran Islam kepada masyarakat jahiliah. Di sisi masyarakat jahiliah, wanita diletakkan pada martabat yang sangat rendah, tetapi apabila Islam datang, Islam mengangkat kemulian wanita. Seperti dalam peristiwa di pasar Bani Qainuqa’, bagaimana seluruh orang islam bangkit demi mempertahankan maruah seorang wanita Islam”
“Kami mahasiswi melihat pengeksploitasian wanita wajar dikawal. Eksploitasi tanpa memperdagangkan nilai dan kedudukan wanita mungkin boleh ditimbangkan kerana maksud ekploitasi adalah tindakan pemanfaatan sesuatu untuk tujuan tertentu.” Ujar Nur Syazwani Aziz, Timbalan Pengerusi SIGMA.
SIGMA berharap isu eksploitasi wanita perlu diambil berat oleh semua pihak dan seluruh lapisan masyarakat terutama golongan adam yang suka mengambil kesempatan ke atas wanita dalam taktik -taktik pelarisan. Andai sehingga satu tahap eksplotasi wanita sudah ditahap kritikal bilamana melihat wanita sebagai sumber seks dan keuntungan, saat itu generasi akan datang penuh dengan kebobrokan dan kehancuran kerana wanita adalah ibu yang akan melahirkan watan yang gemilang. Rosak ibu, rosak anak bangsa maka rosaklah Negara.
0 comments