1

Srikandi Islam : Ummu Habibah

Posted by GAMIS Monday, October 25, 2010 0 comments

Ummu Habibah atau nama sebenarnya Ramlah Binti Abu Sufyan. Inilah serikandi islam yang patut dijadikan teladan bagi muslimah zaman sekarang. Bagaimana tidak? orang-orang terdekat dan dicintainya merupakan musuh baginya. Mereka berusaha memurtadkan dan memalingkannya dari jalan kebenaran. Dialah salah seorang ummul mukminin yang banyak diuji keimanannya.

Ramlah Binti Abu Sufyan merupakan puteri kepada seorang pemimpin Quraisy dan orang-orang musyrik hingga penaklukan Mekah. Namun, Ramlah binti Abu Sufyan tetap beriman sekalipun ayahnya memaksa dirinya untuk kafir ketika itu. Abu Sufyan tidak mampu memaksa anaknya ketika itu kerana anaknya menunjukkan pendirian yang kuat dan semangat yang tekad. Ramlah Binti Abu Sufyan rela menanggung beban yang melelahkan dan berat kerana memperjuangkan akidahnya.

Pada mulanya, beliau menikah dengan Ubaidullah bin Jahsy, seorang muslim seperti beliau. Tatkala kekejaman kaum kafir terhadap kaum muslimin, Ramlah berhijrah menuju Habsyah bersama suaminya. Disanalah beliau melahirkan seorang anak perempuan, yang diberi nama Habibah. Dengan nama anaknya inilah beliau digelar dengan Kun` yah Ummu Habibah.

Ummu habibah senantiasa bersabar dalam memikul beban lantaran memperjuangkan dirinya yang dalam keterasingan dan hanya seorang diri, jauh dari keluarga dan kampung halaman. Bahkan terjadi musibah yang tidak dia sangka sebelumnya.

Beliau bercerita,
"Aku melihat dalam mimpi, suamiku dengan bentuk yang sangat buruk dan menakutkan. Aku pun terperanjat dan bangun, kemudian aku memohon perlindungan kepada Allah SWT dari hal itu. Ternyata tatkala pagi suamiku telah memeluk agama Nasrani. Kuceritakan mimpiku kepadanya, namun ia tidak mengubah pendiriannya."
Suaminya mencuba dengan segala kemampuan untuk memurtadkannya, namun Ummu Habibah tetap istiqamah. Bahkan beliau berusaha mengajak suaminya untuk kembali ke Islam, walaupun ditolak mentah-mentah dan malah suaminya semakin asyik dengan khamr. Hal ini berterusan hingga ia meninggal. Hari-hari berlalu di bumi hijrah, dengan ujian-ujian berat menemani Ummu Habibah. Tetapi dengan keimanan yang dikaruniakan Allah SWT, dirinya mampu menghadapinya.

Suatu malam, dia melihat dalam mimpinya ada yang memanggilnya;
"Wahai ummu mukminin...!"

Beliaupun terperanjat bangun. Beliau menakwilkan mimpi tersebut bahwa Rasulullah SAW kelak akan menikahinya. Setelah selesai masa iddah-nya, tiba-tiba ada seorang budak wanita (jariyah) dari Raja Najasyi yang memberitahukan kepada beliau bahwa Rasulullah SAW telah meminangnya.

Alangkah bahagianya beliau mendengar khabar gembira tersebut. Sehingga beliau berkata;
"Semoga Allah memberikan khabar gembira untukmu"

Kerana terlalu gembira dengan khabar itu, beliau menanggalkan gelang kakinya lalu diberikan kepada budak wanita yang membawakan perkhabaran tersebut. Setelah itu, beliau meminta Khalid bin Sa'id bin Al-‘Ash untuk menjadi wakil baginya menerima lamaran Raja Najasy.

Rasulullah bertemu dengannya pada tahun ke enam atau ke tujuh Hijriyah. Ketika itu Ummu Habibah berumur 40 tahun. Ummu Habibah menempatkan urusan agama pada tempat yang pertama. Beliau utamakan akidahnya daripada keluarga. Beliau menyatakan bahwa kesetiaan beliau adalah tidak berbelah bahagi untuk Allah dan Rasul-Nya bukan untuk seorang pun selain keduanya.

* Dipetik dengan disesuaikan dari majalah Nikah Vol. 5, No. 5, August 2006.
Sumber : www.zahazan.net

SIGMA : IFF petanda buruk buat PERMATA

Posted by GAMIS Saturday, October 23, 2010 1 comments



Bukan hanya mendapat kecaman daripada pelbagai NGO dan Pertubuhan besar negara, Islamic Fashion Festival (IFF) kelolaan Datin Seri Rosmah Mansor juga dikecam keras oleh Srikandi gerakan Muslimat Muda (SIGMA).

Front sayap kanan Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS) tersebut yang menghimpunkan seluruh sayap kanan Persatuan Mahasiswa Islam seluruh kampus Malaysia semalam mengadakan perbincangan khas berkenaan ke’biadapan’ festival fesyen tersebut.

Mesyuarat khas yang diadakan di Petaling Jaya semalam dihadiri oleh Pengerusi SIGMA sendiri, Nazirah Abu Bakar, Timbalan Pengerusi SIGMA, Siti Nadzirah Majeed dan beberapa wakil mahasiswi kampus sekitar Lembah Klang.

Menurut Nazirah, SIGMA akan membuat sidang media khas berkenaan IFF sebagai menyatakan pendirian SIGMA.

“Jelas IFF menonjolkan fesyen yang bertentangan dengan Islam. Kita pelik bagaimana majlis grand seperti IFF boleh menonjolkan fesyen-fesyen begitu yang bukan hanya salah dengan tema ‘islamic fashion‘ tetapi ada antaranya yang sampai menghina rasulullah..nauzubillah. Kita diperingkat SIGMA tidak akan berdiam diri” ujarnya.

SIGMA menyambut baik usaha beberapa pihak khususnya NGO dan badan-badan Islam mahupun perseorangan yang memberikan respon kepada penganjuran IFF. Setakat ini belum ada pihak yang benar-benar tampil bersetuju dengan penganjuran IFF malah ramai yang mengecam dan meminta Rosmah untuk bertaubat.

Sementara Nadzirah, Timbalan Pengerusi SIGMA beliau menyeru kepada semua mahasiswa Islam khususnya untuk tidak mudah menerima IFF sebagai satu kesilapan biasa.

“IFF nyata bukan hanya satu kesilapan. Tapi satu penghinaan. Saya tidak rasa kita patut diam dan duduk saja atas berlakunya IFF. Pada saya, IFF jelas melanggar undang-undang syariah di negara kita. Awalnya ya saya sendiri terkejut dengan apa yang berlaku kerana tidak sangka IFF dinaugi oleh isteri PM (Perdana Menteri)” Ujarnya sinis.

Selain itu, mesyuarat malam tadi juga menyentuh mengenai kebimbangan mereka terhadap PERMATA yang dinaugi Rosmah bakal mencorak kecelaruan kepada anak-anak Malaysia.

Kesilapan IFF mungkin akan berlaku dalam acuan didikan kepada anak-anak Malaysia. Sebelum ini, isteri PM Dato’ Seri Najib Tun Razak juga pernah dikaitkan dengan pelbagai spekulasi negatif seperti pembunuhan Altantuya, pengunaan wang kerajaan untuk membeli belah dan banyak lagi yang pada dasarnya tidak mencerminkan seorang ikon yang baik untuk anak-anak ujar SIGMA.

PERMATA sebelum ini menerima peruntukan RM111 juta dalam pembantangan badjet 2011

Luka Masyarakat Kian Parah

Posted by GAMIS Thursday, October 21, 2010 0 comments

SEMALAM

Islam tidak melarang kita untuk berhibur, namun banyaknya yang terjadi sekarang adalah salah guna terhadap hiburan itu sendiri.. Akibatnya melahirkan budaya hedonisme yang cukup untuk memusnah generasi kita hari ini. Firman Allah s.w.t:

وإذا رأوا تجارة أو لهوا انفضوا إليها وتركوك قائما قل ما عند الله خير من اللهو ومن التجارة والله خير الرازقين
(الجمعة آية 11
Dan apabila mereka melihat perniagaan dan hiburan, mereka meluru ke arahnya dan meninggalkanmu berdiri (ketika berkhutbah) katakanlah apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik daripada hiburan dan daripada perniagaan dan Allahlah sebaik-baik pemberi rezeki.

Kesimpulan: Di dalam ayat ini Allah Taala telah menggabungkan hiburan( اللهو ) dan perniagaan secara bersama. Allah Taala tidak mencela hiburan dan perniagaan tetapi ayat ini diturunkan untuk menegur tindakan para sahabat Nabi yang telah meninggalkan khutbah Rasulullah pada hari Jumaat semata-mata ingin menyambut kedatangan rombongan perniagaan yang baru tiba di Madinah di samping memukul gendang untuk memberitahu orang ramai kedatangan kafilah tersebut sehingga bilangan para sahabat yang tinggal di dalam masjid bagi mendengar khutbah Nabi hanya sekitar 12 orang sahaja.



Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan kehadiran gay si Adam Lambert yang beraksi di stadium Bukit Jalil, amat mengecewakan bilamana bantahan demi bantahan yang dibuat tidak mendapat perhatian pihak yang sepatutnya, jangan kita hairan sekiranya selepas ini lahir beribu-ribu lagi kes gejala sosial kerana pemerintah hari ini sudah tidak mampu membendung kemasukan budaya-budaya barat yang ternyata sudah disebut didalam kitab sejarah yang lalu sebagai antara faktor kejatuhan tamadun mereka dahulu.







Tidak cukup dengan luka masyarakat dengan kehadiran Adam Lambert, apa yang telah dibuat oleh first lady Malaysia amatlah meremuk redamkan hati kita. “Islamic Fashion Festival” yang sepatutnya mengangkat martabat pakaian-pakaian islam telah menjadi sebaliknya. Selaku penaung bagi festival ini, Datin Rosmah seharusnya sedar, beliau mempunyai kuasa untuk merencanakan percaturan untuk festival ini. Amatlah menjadi kekesalan kita bilamana apa yang disebut didalam ucapannya tidak diaplikasikan dengan sebaik mungkin. Disebut dengan jelas :

“The IFF main mission is to capitalise on fashion as a platform to bring together designers and fashion enthusiasts of different cultures, religious backgrounds and race. It is also aimed at making Muslims to accept Islamic wear with a varied choice of styles.”

“Muslim's population comprises one of the fastest growing consumer markets in the world, hence represent a major growth opportunity for businesses around the world including fashion. According to the prestigious Dubai French Fashion University Esmod, over half of the world's 1.6 billion Muslim populations are spending more than USD 120 or more a year on fashion and accessories. As a result, Islamic fashion is fast becoming a lucrative business. It was also reported that the current market for Islamic-inspired fashion has been estimated to be worth more than 96 billion US dollars a year. There is thus a huge market potential for Islamic apparels”

“Lastly, I hope everyone will enjoy the rest of the evening as we sit back and be inspired by the varied interpretations of Muslim fashion by the designers.”

Tiga petikan yang cukup menarik tetapi gagal untuk dilaksanakan. Takutlah kita dengan firman Allah, didalam surah assaf ayat 2 dan 3 disebut dengan jelas :

يأيها الذين ءامنوا لم تقولون ما لا تفعلون كبر مقتا عند الله أن تقولوا ما لا تفعلون

“wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (itu) sangatlah dibenci disisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.

Hari ini, Jangan kita berbicara soal keruntuhan akhlak anak remaja kalau tindakan kita mencerminkan apa yang kita hajatkan dan tak diselaraskan dengan matlamat Negara untuk melahirkan generasi yang bekualiti. Jangan kita sibuk mencari penawar kepada masalah generasi muda jika akar umbi sakitnya tidak dihapuskan.

Justeru itu saya dan seluruh kepimpinan SIGMA mendesak agar :

1) 1) Permohonan maaf dibuat secara terbuka kepada masyarakat islam khususnya daripada penganjur kedua-dua program yang telah disebutkan diatas.

2) 2) Sebarang program yang melibatkan agama haruslah mendapatkan pandangan atau khidmat nasihat dari ulama’ dan mufti-mufti.

3) 3) Memandangkan festival fesyen tersebut melibatkan kementerian pelancongan maka kami menggesa agar sebarang program yang melibatkan kewangan kementerian haruslah dihebahkan didalam media.

Harus ditegaskan, kami tidaklah menolak sebarang penganjuran festival yang ingin dianjurkan namun ianya haruslah dipastikan selari dengan syariat yang telah ditetapkan. bahkan kami menyokong dan akan berusaha mempromosikan mana-mana festival islam yang berada diatas landasan syariat.

Memurnikan Gerakan, Memaknakan Mahasiswa


NAZIRAH BT. ABU BAKAR -UIA

PENGERUSI SIGMA GAMIS

Blog beliau boleh dilawati melalui : Kembara Seorang Hamba

Sekolah Harapan: Alah bisa tegal biasa?

Posted by GAMIS Wednesday, October 13, 2010 0 comments


Kita sedia maklum, kerajaan negeri Melaka memulakan langkah dalam pembinaan dan pembiayaan sebuah sekolah khusus untuk pelajar hamil yang dinamakan Sekolah Harapan.

Sekolah yang ditempatkan di daerah Jasin, Melaka ini bahkan boleh menampung sehingga 40 orang pelajar. Ketika sekolah ini mula dilancarkan, saya berfikir untuk menyediakan masa membuat 'pemerhatian'.

Ternyata setelah lebih kurang 3 minggu sekolah ini dibuka, hipotesis saya benar; akan berlaku pertambahan pelajar dari semasa ke semasa. Walaupun di peringkat permulaan kita tahu tiada yang berani mendaftarkan diri. Sehingga saat ini, media melaporkan bilangan pelajar sudah melebihi 10 orang bahkan ada yang telah melahirkan.

Apa yang perlu kita risaukan soal kuantiti?

Inilah perkara pokok dalam isu ini. Pada pandangan saya, sekolah yang pada awalnya hanya diperuntukkan untuk 40 orang pelajar sahaja ini begitu 'berisiko' besar untuk menambah bilangan kerusi dan meja untuk pelajar lain lagi.

Saya begitu bimbang, sikap 'keterbukaan' para menteri kita ini akan menjadikan pepatah 'alah bisa tegal biasa ' diterjemahkan dalam isu ini. Mula-mula malu, kemudian ramai yang mahu. Lama-kelamaan, tiada apa lagi yang akan menjadi 'isu' kerana ia telah menjadi sebati dalam masyarakat kita.

Para remaja yang gemar bersosial tanpa batasan akan mula berasa 'selamat' setelah ada jaminan bahawa mereka tetap boleh 'menjadi manusia' seperti rakan-rakan sekolah mereka yang lain walaupun sebenarnya nilai hidup sebagai seorang manusia berakhlak itu makin terhakis dalam diri.

Saya juga ingin menimbulkan dua persoalan yang nyatanya akan memberi kesan berbeza. Pertama, jika benar seorang pelajar itu hamil sebelum sekolah ini diwujudkan dan beliau benar-benar menginsafi perbuatannya, mungkin benar dirinya 'layak' ke sekolah harapan ini (jika berpandukan matlamat penubuhan).

Tetapi kedua, jika pelajar tersebut hamil setelah wujudnya sekolah ini akibat rasa selamat akan 'terjaminnya' masa depannya walau hamil di luar nikah, ini yang bermasalah. Bahkan masalah ini memberi kemudaratan yang lebih besar kepada masyarakat kita berbanding keadaan pertama. Bukankah mengelakkan kemudharatan yang lebih besar itu adalah lebih perlu kita utamakan berbanding mewujudkan kebaikan yang sedikit?

Benar, kita tidak akan mampu menjangkakan masa depan. Tetapi, jika jalan yang kita gunakan lebih berisiko dalam mengundang nilai negatif berbanding nilai positif untuk masyarakat, tindakan kita perlu dikaji semula.

Bernilai lagikah masyarakat kita jika hidup dalam budaya 'keterbukaan tanpa batasan' hingga mengurangkan nilai sensitiviti terhadap maruah dan kehormatan?


SITI NADZIRAH BT. MAJEED -UM

TIMBALAN SIGMA

Blog beliau boleh dilawati melalui : Kembara Menuju Allah

UCAPAN PENGERUSI SIGMA

Posted by GAMIS Tuesday, October 12, 2010 0 comments


dan orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi Penolong bagi setengahnya Yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (At-taubah, ayat 71)



Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dirafakkan kepada Allah SWT, Penguasa Sekalian Alam atas rahmat dan kesempatan yang diberikan untuk terus bernafas sebagai seorang muslim.. Selawat dan salam buat junjungan besar, kekasih kita Rasulullah SAW, para sahabat dan ahlil bait.

MUSLIMAT ASET BERNILAI GERAKAN ISLAM

sahabat-sahabat yang dihormati,

Medan perjuangan gerakan Islam pastinya tdak pernah sunyi daripada penyertaan muslimat yang dikatakan sebagai sayap kiri perjuangan. Peranan muslimat dalam usaha mencapai agenda dan matlamat gerakan bukan lagi menjadi keraguan di kalangan pendokong harakah islamiyah. Bahkan ketiadaan muslimat pasti akan dinanti dan dicari.

Lantaran keperluan ini, Srikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA) yang menjadi aset dan kekuatan di dalam GAMIS sendiri akan cuba berusaha untuk memainkan peranan penting bagi mencapai hadaf gerakan. Memasuki tahun ketiga pengimejan semula (rebranding) gerakan muslimat GAMIS, SIGMA sesi ini begitu optimis untuk meneruskan lagi agenda yang telah dirancang sebelum ini dengan kesedaran kita perlu bersama-sama berusaha dan berkerja lebih keras lagi dalam mencapai matlamat.

MEDAN PENTARBIYAHAN MUSLIMAT GERAKAN

ikhwah dan akhawat yang dirahmati Allah,

SIGMA membulatkan tekad untuk meningkatkan lagi kualiti ahli khususnya muslimat dalam berfungsi sebagai ‘abidah, da’ieyah, murabbiyah dan pemimpin kepada masyarakat. Nilai ‘ubudiyyah dan kelimuan yang disatukan dalam jiwa muslimat pastinya akan mampu melahirkan muslimat gerakan yang berkualiti dan menjadi penggerak kepada perubahan masyarakat ke arah yang lebih baik. Kita bukan sahaja meneladani Aisyah ra yang mahir dalam ilmu hadith, atau Fatimah az Zahra yang mahir dalam ilmu fiqh, bahkan juga Siti Zubaidah isteri Harun ar Rasyid yang bijaksana mencadangkan pembinaan saluran pengairan mata air ‘Ain Zubaidah di tengah kota mekah, teknologi yang hampir tidak terfikir manusia disaat itu . Justeru, penglibatan di dalam SIGMA perlu dijadikan sebagai medan tarbiyah kepada semua ahli gerakan muslimat sehingga kita boleh menyediakan ahli muslimat yang petah berbicara dan memiliki kelebihan tersendiri dalam menyampaikan ilmu dan kefahaman Islam kepada masyarakat diluar.

MUSLIMAT KOMPETEN DAN BERINTEGRITI

sahabat-sahabat yang dimuliakan, Allah SWT berfirman yang maksudnya:

Sesungguhnya sebaik-baik orang diambil bekerja ialah orang Yang Kuat, lagi amanah".(Al-Qasas: 26)

Al-Qawwi dan Al-Amin adalah 2 ciri terpenting seorang pemimpin yang dinukilkan di dalam al-Quran. Nilai kompetensi (quwwah) dan integriti (amnu) inilah yang perlu dibina di dalam diri anggota SIGMA dalam usaha kita untuk melahirkan pelapis kepimpinan negara dan kepimpinan GAMIS itu sendiri. Apatah lagi, kini kita berhadapan dengan pelbagai cabaran yang menyebabkan muslimat perlu lebih ke hadapan dan memiliki jiwa kepimpinan yang cekal dan berketrampilan. SIGMA juga berperanan untuk menjadi suara ketiga (3rd voice) dalam meningkatkan lagi nilai dan kualiti masyarakat khususnya dalam isu-isu sosial dan kewanitaan. Matlamat ini pastinya tidak akan berjaya tanpa adanya pemimpin muslimat yang dilahirkan oleh SIGMA sendiri yang mampu bersaing dan memiliki sifat-sifat mahmudah.

WEHDATUL QALB MEMPERKUKUH GERAKAN

Kesatuan fikrah dan amal dalam SIGMA pasti akan lebih bermakna jika ia dilengkapi oleh kesatuan hati semua anggotanya. Setiap agenda yang digariskan di dalam SIGMA dan GAMIS sendiri tidak lain hanya akan dapat dilaksanakan dengan adanya kekuatan dan kesatuan anggota. Justeru, usaha yang seharusnya diperkasakan lagi di peringkat SIGMA tidak lain adalah untuk meningkatkan lagi momentum kekuatan dan kesatuan ahli muslimat. Bahkan, kekuatan yang disepadukan ini pasti memberi impak besar kepada gerakan GAMIS sendiri.


Akhir kata, marilah sama-sama kita memohon pertolongan daripada Allah SWT agar dikurniakan kekuatan dan kebijaksanaan dalam membantu Islam. Semoga kita istiqamah dalam mendokong perjuangan berlandaskan kebenaran ini. Firman Allah Taala:

Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan” ( Hud:112)


NAZIRAH BT. ABU BAKAR -UIA

PENGERUSI SIGMA GAMIS

Blog beliau boleh dilawati melalui : Kembara Seorang Hamba





Suara Perubahan

Aktivis Mahasiswa

Aktivis Mahasiswi